Showing posts with label sedih. Show all posts

Perniagaan Kita Dengan Allah S.W.T.


Tahun 2012 tak lama lagi akan melabuhkan tirainya dan akan masuk ke tahun masihi yang baru iaitu tahun 2013 tak lama lagi. Apakah yang kita sudah lakukan pada tahun 2012 ini. Adakah kita buat segala perintah Allah ? Ataupun kita leka meninggalkan suruhanNya. Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri kita, kita ingat balik apa yang kita telah lakukan pada tahun 2012 ini. Ingatlah Muhasabah diri merupakah amalan para nabi, amalan para rasul yang terdahulu, amalam orang soleh yang terdahulu, mereka berjaya kerana amalan muhasabah diri yang selalu dilakukan oleh mereka.

Mengikut Ibnu Qudamah:
"Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat."
Daripada takrif yang diberikan oleh Ibnu Qudamah ini kita perlu melihat keadaan keuntungan dan kita kena lihat keadaan kerugian kita untuk mengenal pasti penambahan amalan kita. Seperti dalam hal ehwal perniagaan. Sudah tentu ada modalnya, sudah tentu ada keuntungannya, sudah tentu ada kerugiannya. Maka apabila hampir di akhir tahun pihak akauntan akan melihat kembali apakah percapaian syarikat mereka pada tahun itu. Seperti juga dengan kita ini, kita perlu lihat dengan modal kita yang diberikan oleh Allah S.W.T iaitu kewajipan yang Allah S.W.T perintah kepada kita seperti solat fardhu, bayar zakat, puasa dan segala yang Allah menfardhukan kepada kita, itulah modal kita untuk kita masuk kedalam syurga Allah S.W.T.

Kita perlu melihat juga dalam konteks keuntungan iaitu perkara-perkara sunat yang telah di anjurkan oleh agama kita seperti solat sunat, puasa sunat dan segala perkara yang ditunjukkan oleh baginda nabi S.A.W. itu lah keuntungannya. Maka berbahagialah kepada sesiapa yang banyak melakukan perkara sunat ini yang banyak meraih keuntungan. Dan apabila kita bermuhasabah diri kita lihat lah apa keuntungan yang kita dapat pada tahun ini. Jika berkurangan keuntungan kita pada tahun ini, maka rugi lah kita pada tahun ini  
Wahai orang-orang yang beriman nakkah kamu jika Aku tunjukkanmu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kanmu daripada azab yang pedih? (Caranya ialah) Kamu beriman kepada Allah, kamu beriman kepada RasulNya, serta berjihad pada jalan Allah dengan harta dan nyawamu, yang demikian itu lebih baik bagi mu jika kamu mengetahui." - Surah As-Shaf, 10-11

Selain itu kita kena muhasabah dalam konteks kerugian kita iaitu larangan yang kita langgar, dosa yang kita lakukan kepada Allah S.W.T. Maka itulah kerugian yang kita lakukan pada tahun ini. 

Jadi marilah kita lihat apa yang kita telah lakukan pada tahun ini, cuba lah kita senaraikan apa yang kita lakukan pada tahun ini dengan apapun cara kita duduk pada suatu malam untuk kita bermuhasabah diri kita, lihat semula adakah kita guna semua modal yang diberikan, adakah kita mendapat keuntungan yang banyak. ataupun kita banyak melakukan kerugian. Maka dengan kita bermuhasabah diri pada tahun ini, maka kita tau apa yang kita telah lakukan pada tahun sebelum ini. InsyaAllah tahun baru yang akan datang, akan mendatangkan sinar baru pada diri kita untuk menjadi manusia yang lebih beriman.

Posted in , , , , , , , , , | 2 Comments

Kita Bagaikan Awan Yang Menangis



Hujan lebat turun membasahi bumi. Sehingga kini, masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Sudah lama juga hujan tidak turun selebat ini. Mana tidaknya, sebelum ni cuaca sangat panas.


Kakak baru sahaja selesai menunaikan solat Zohor. Sebelum solat, dia ada berjanji dengan Adik, untuk membancuh air Milo sejuk pada asalnya. Tapi dalam keadaan hujan lebat yang sejuk ini, rasanya kalau bancuh air Milo panas lagi umphh.


Selepas makan tengahari, Adik terus duduk berteleku di tepi tingkap memerhatikan titis-titis hujan yang turun. Di pangkuannya, Boboi si kucing kesayangan Adik sudah terlena. Mungkin selesa dek kehangatan belaian Adik, nak pula tengah sejuk sekarang ini.


"Adik, nak air Milo tak? Kakak bancuh yang panas ye. Sejuk sekarang ni."


"Kakak, tak apalah. Adik tak nak minum air Milo. Adik nak Kakak duduk sebelah Adik, boleh?" pinta Adik sambil menepuk lantai untuk duduk di sebelahnya. Pasti ada sesuatu yang Adik nak tanya ni, hati Kakak berbisik.


Kakak duduk melunjurkan kaki, kemudian mengambil Boboi dari pangkuan Adik dibawa ke pangkuannya. Terdengar bebelan kecil Boboi, mungkin kerana tidurnya yang lena diganggu. Tak lama lepas tu, Boboi tertidur semula.


"Kakak, dah lama kan hujan tak turun?"


"Yep. Alhamdulillah. Allah turunkan juga hujan. Rasa segar sikit dapat bau hujan. Hehe."


"Ha'a Kak. Tengok tu. Katak tu lompat-lompat kat laman rumah. Mesti dia suka hujan turun. Boleh main hujan."


Oh, itulah rupanya yang Adik ralit sangat duduk di tepi tingkap ini. Ralit tengok katak rupanya.


"Kakak, Adik pernah dengar, kalau hujan turun, maksudnya awan tengah menangis ye Kak?"


Kakak tersenyum mendengar soalan Adik. Alhamdulillah, dia dikurniakan seorang Adik yang sangat cerdas. Sudah menjadi kebiasaan, kalau ada apa-apa sahaja yang bermain di mindanya, Adik akan terus bertanya, walaupun ada masanya soalan yang diajukan itu, kedengaran tidak logik juga.


"Oh, awan tu menangis, sebab kena pikul beban air yang sangat berat. Apabila dah tak terlarat nak pikul, awan pun mencurahkan semua air itu turun ke bumi. Nak pula bumi pun masa tu sangat-sangat memerlukan air hujan untuk menyegarkan balik semua yang layu kerana berpanas."


Adik sudah mula memusingkan badannya menghadap Kakak. Petanda ingin mendengar lagi penjelasan dengan lebih mendalam.


"Kalau ikut proses alam, mula-mula awan akan sedut air dekat sungai sikit, laut sikit, kolam sikit, untuk dikumpulkan. Tak lama lepas tu, awan tu pun akan membesar sedikit demi sedikit, ikut pada banyak mana air yang dia dapat sedut. Dan tak lama lepas tu, apabila awan tu dah rasa berat sangat, dah tak larat dah ni, barulah awan lepaskan air tu turun sebagai hujan. Itupun semua, dengan izin Allah."


Kakak terpaksa menukar perkataan 'sejat' kepada 'sedut', bagi memudahkan si Adik membayangkan apa yang diceritakan itu.


"Kakak, tapi kan, Adik tak nampak pun air kena sedut...."


Meletus tawa si Kakak. Haih Adik. Adik mula membuat muka tak faham.


"Adik, tak semua proses ni kita akan nampak. Itu semua sudah menjadi kuasa Allah, bagaimana air itu disedut ke awan. Macam ni, Adik pernah tengok kan, air dekat bekas Boboi. Kadang-kadang, Boboi tak minum, air dah tinggal sedikit. Itu maknanya air Boboi dah kena sedut ke udara, nak dibawa ke awan. Memang Adik tak nampak air tu kena sedut, tapi Adik tahu, yang air dalam bekas Boboi semakin kurang. Nak pula kalau hari panas macam semalam. Lagi banyak air yang kena sedut apabila cuaca panas."


"Kakak, kalau orang menangis kan, maknanya, mata dia pun boleh sedut air macam awan ye?"


Kakak menarik nafas panjang dan dalam. Soalan yang Adik tanya kali ini, bukannya soalan yang susahpun untuk dijawab. Cuma Kakak tak pasti, seandainya Adik dapat memahami jawapan yang bakal dia berikan itu.


"Macam ni. Manusia menangis, bukan macam tu ceritanya. Manusia ni unik Adik. Allah ciptakan manusia, dengan seketul darah, yang Allah gelarkan sebagai hati. Dan hati tu, secara fitrahnya, sangat lembut. Lembut sehingga mampu untuk menyerap, dan menyimpan segala beban dan kesusahan yang dihadapinya, semasa menjalani kehidupan sehariannya di dunia ni. Dan hati itu, ada tahap kekuatannya untuk bertahan memikul beban dalamnya. Sampai satu masa, hati itu akan melepaskan semua apa yang disimpannya selama ini, melalui tangisan. Tangisan itu bukannya bukti yang hati itu lemah kerana terlalu lembut, tapi ianya bukti yang hati itu sudah lama bertahan untuk menjadi kuat dalam memikul semua beban itu. Macam awan, apabila terlalu berat, akan turun juga hujan.


Tapi, apabila seseorang manusia itu meluahkan semua apa yang dirasa dalam hatinya melalui tangisan, InsyaAllah, dia akan merasa suatu kelegaan, dan juga keringanan di hatinya. Sama macam awan, lepas hujan turun, dia pun akan menjadi kembali ringan, dan bersedia untuk menyedut balik air untuk dikumpulkan.


Manusia pun, selepas menangis, dia akan menjadi lebih bersedia untuk berhadapan dengan setiap kesusahan yang dihadapi. Hatinya yang lembut itu tetap akan terus lembut. Namun, daya kekuatannya untuk menahan beban di dalamnya akan bertambah, membuatkan dirinya lebih kuat dan tabah."


Kakaknya memandang mata Adiknya. Khusyuk si Adik mendengar, tapi, tak tahulah kalau Adiknya faham atau tidak mesej yang disampaikan itu.


"Jadikan Kak, kalau bumi, awan itu macam hati manusia. Sama juga manusia, hati dia tu macam awan. Sama-sama akan menyedut, tapi lain-lain apa yang disedut. Dan dua-dua akan lepaskan apa yang disedut itu, melalui air. Kalau awan, melalui hujan. Kalau manusia lak, menangis. Tapi kan Kak....."


Si Kakak menanti sambungan kata-kata Adiknya.


"Kenapa Kakak menangis ye setiap kali tolong Ibu masak? Memang tolong Ibu masak tu susah ye?"


Tergelak besar Kakak. Dan kali ini, gelak tawa Kakak disambut oleh gelak si Ibu.


"Tu namanya bukan menangis Adik. Kakak awak tu tak tahan dengan bawang. Setiap kali kupas bawang, berair mata. Asal kupas bawang, berair mata." Sambut si Ibu, dengan membawa dua mug berisi air Milo panas.


"Adik. Adik. Nanti Adik besar sikit tolonglah Ibu kupas bawang kat dapur. Rasa macam mana pedihnya mata masa kupas bawang. Yang tu cerita dia lain pula Adik. Nanti masa Kakak tolong Ibu kat dapur, Kakak cerita kenapa Kakak berair mata masa kupas bawang.


Ibu, terima kasih untuk air Milo panas. Kakak baru terfikir nak bancuh tadi. Sekali Adik tahan Kakak kat sini."


"Tak apa. Kebetulan Ibu pun ralit dengar cerita Kakak kat Adik tadi. Ni Adik faham tak apa yang Kakak cerita panjang dari tadi?"


"Errmmm. Ada yang faham. Ada yang tak. Tak apa, yang Adik tahu, orang yang menangis tu bukan orang yang lemah. Hehe."


"InsyaAllah, sampai masanya nanti, Adik akan faham. Apabila Adik dah besar macam Kakak, Adik akan faham dengan sendirinya setiap apa yang Kakak ceritakan ni," pesan Ibu kepada Adik.


Adik mengangguk. Milo panas mula dihirup perlahan. Alhamdulillah, nikmat rasanya dapat minum Milo panas waktu-waktu macam ni.


Hujan yang lebat tadi sudah berhenti. Matahari mula memancarkan semula cahayanya. Dan di balik cahaya itu,


"Kakak, tengok tu, ada pelangi."






Adik menunjukkan pelangi kepada Kakak. Lebar senyuman Adik dapat menyaksikan pelangi yang jarang sekali dapat dilihat.


"Kakak, masa hujan, kat luar nampak kelabu. Mendung je. Tapi apabila hujan dah berhenti, matahari keluar sekali dengan pelangi yang ada tujuh warna. Cantikkan alam selepas hujan."


Dengan penuh ceria Adiknya menyampaikan apa yang ada dalam fikirannya. Kakak tersenyum.


Subhanallah. Tidak Allah menciptakan sesuatu itu, tanpa sebabnya. Setiap sesuatu ciptaan itu mempunyai peranannya yang telah ditetapkan Allah. Ada pelangi setelah awan menangis.


"Moga Adik membesar menjadi muslimah yang tabah. Muslimah yang kuat. Muslimah yang tetap lembut hatinya. InsyaAllah. Moga Allah sentiasa melindungimu, wahai Adikku sayang."



Cerpen ditulis oleh Fatin Hamiza Binti Mohd Nasir.

Posted in , , | 2 Comments

Aku risau ditambah dengan sedih ~

Assalamualaikum dan Selamat Malam ^_^



Harini aku rasa macam nak luahkan perasaan sikit. Bukan pasal cinta ke apa, tapi hal semasa yang tengah berlaku sekarang. Wa Allahu 'alam..

Huh.... sebenarnya..sebenarnya...aku risau. Aku Risau sebab agama Islam makin dipermain-mainkan. Allah... Tak takut ke dengan azab yang sudah Allah janjikan untuk mereka yang mempermainkan agama-Nya. Ni bukan agama manusia yang cipta, ni agama Tuhan kita, Allah Rabbul 'Izzati. Tak takut ke sana sini memperlekehkan agama Allah? Tak takut dengan azab Allah ke? Ingat sebab kita tak boleh nampak Allah, kita boleh melawak dengan bermodalkan agama Dia?


Ingatlah, azab yang Allah janjikan bukan macam janji yang dibuat oleh manusia. Janji Allah itu pasti, bukan seperti janji manusia yang boleh dimungkiri. Kalau kulit terkena percikan minyak panas, kulit kita akan rasa sakit kan ? Kalau yang sikit pun dah rasa sakit, bayangkan nak menanggung azab api neraka Allah yang maha dahsyat untuk berjuta tahun lamanya. Allah...


Aku sedih. Sebab melihatkan yang bergurau dengan modal agama ni adalah orang Islam sendiri. Islam pada nama ? Islam pada ic ? Atau Islam pada hati ? Anda jawab sendiri...


"Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal. " 

Surah At-Taubah ayat 129 

Posted in , , | 1 Comment

Search

Blog.Syahir. Converted by LiteThemes.com.